Tuesday, September 4, 2012

Cerita Bulan Dan Pungguk

Satu ketika dahulu, pungguk dan bulan bersahabat dan berkasih. Setiap hari pungguk akan menemani bulan. Setiap masa. Pungguk tak pernah biarkan bulan keseorangan. Ada saja perkara istimewa yang akan pungguk lakukan dan cerita untuk bulan. Bulan juga lakukan perkara yang sama untuk pungguk. Bulan senang dan gembira bersama pungguk. Mereka bahagia. Pungguk sentiasa rindukan bulan. Bulan juga begitu. 

Sedang leka berbahagia, bulan dapati pungguk semakin jarang menemani bulan. Jika dulu seminggu, seminggu penuh. Sekarang seminggu hanya 3 atau 4 hari sahaja pungguk temankan bulan. Pungguk khabarkan pada bulan, pungguk sibuk. Bulan mengerti. Bulan tak marah, bulan memahami. Bulan masih setia menunggu pungguk setiap hari. Masih setia. 

Semakin dimakan usia perkenalan, bulan rasakan pungguk semakin berubah. Pungguk semakin menjauh. Jika dulu seminggu penuh, kemudian seminggu 3 atau 4 hari pungguk ada untuk bulan, kini 2 minggu penuh belum tentu pungguk menemani bulan. Adakah pungguk sibuk? Bulan katakan dalam hati. Tetapi keadaan menunjukkan pungguk tidak sibuk. Pungguk sudah berubah.

Pungguk mula kenal bintang, bukan satu bintang tetapi serangkai bintang. Pungguk seronok berkenalan dan bersahabat dengan bintang. Leka. Nampak pungguk lebih seronok bersama bintang berbanding bulan. Lama kelamaan pungguk semakin melupakan bulan. Bulan tiada lagi peneman. Walaupun satu ketika dahulu cahaya bulan yang sentiasa menemani pungguk, tapi bulan bukan lagi pilihan pungguk. 

Bulan keseorangan. Membawa diri. Pungguk bersama rangkaian bintang. Bulan akur dengan keadaan. Bulan berbisik sendirian - Jika satu hari nanti, pungguk teringatkan bulan, datang lah. Pungguk tahu di mana bulan berada. Bulan takkan berubah. Bulan masih begitu. Masih sama. Bulan akan terima pungguk semula.

Untuk seketika, 
Selamat berbahagia pungguk - Bulan

Ada sedikit rintik hujan di luar.